Assalamualaikum dan salam jumaat. Seorang sahabat pernah berkata "Suka aku tengok kawan kita masa sekolah rendah dulu tu. Masa kecik dialah paling samseng dalam sekolah tapi sekarang ni dia la paling rajin ke masjid, ke kelas agama, dan banyak melakukan kerja kerja amal ni."
Betul apa yang dikatakan oleh beliau, sahabat seorang tu telah berubah menjadi seorang yang jauh lebih baik dari dia yang dulu. Teringat kata kata seorang ustaz, "Nak menjadi lebih baik kena bermula dari hati. Dari hati itu juga la yang membawa kita ke arah hijrah"
Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti
disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi
dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah. Demikian
juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya',
menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan
apa-apa faedah.
Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi
besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.
Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.
Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat
lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan
RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau
perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya. Walaupun hijrah sudah
tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan
taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.
Manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Tiada manusia yang
bodoh, manusia dilahirkan dengan fitrah yang suci. Ibu bapa lah yang
mencorakkan mereka...
Semasa bayi dan kanak-kanak, ibu bapalah pelindung kita...
Semasa remaja, kawan-kawan lebih diutamakan dari ibu bapa...
Semasa dewasa, hanya segelintir sahaja yang menyerahkan
seluruh jiwa dan raganya kepada Yang Maha Esa, untunglah golongan yang
segelintir itu. Tapi masih belum terlewat sekiranya, kita ingin
berhijrah, masih ada masa lagi, selagi nyawa belum diambil olehNya. Ini adalah
sekadar renungan untuk diri sendiri dan yang berkenaan.
Sebagai panduan bagi remaja, bagaimana caranya untuk
melakukan hijrah diri?
NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas
mengharap keredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti
mendapat pertolongan Allah. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan
dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak
kekal lama kebaikannya.
TETAPKAN MATLAMAT. Matlamat yang ulung pastilah untuk
mendapat keredhaan Allah. Namun yang harus ditelusuri ialah persoalan sejauh
mana relevannya matlamat yang ditetapkan. Matlamat yang disasarkan harus
realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau
dalam tempoh yang singkat. Contohnya anda ingin berubah daripada seorang yang
jahil tentang ilmu agama menjadi sarjana Islam yang hebat dalam masa beberapa
minggu. Tentu mustahil bukan? Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda
kini konsisten mengikuti kuliah agama di surau dan masjid setiap malam. Itu
mungkin hijrah diri terhadap ilmu. Anda meletakkan sasaran bahawa dalam masa
1-2 tahun ini anda dapat memahami konsep asas Islam. Atau dalam masa 2 tahun
akan datang anda dapat menguasai hukum tajwid dan dapat membaca ayat-ayat
al-Quran dengan baik.
BUANG PERSEPSI YANG SALAH. Selama ini anda mungkin mempunyai
persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Anda mengkin mempunyai
persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman.
Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang
jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan
juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut
berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi
hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang. Mengapa tidak
anda?
HENTIKAN PERKATAAN NEGATIF. Perhatikan perkataan yang
negatif yang sentiasa keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata
positif yang keluar daripada orang-orang hebat. Latihlah diri untuk menuturkan
kata-kata hebat tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru.
Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan. Lafazkanlah kata-kata
“aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar
diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.
BANYAKKAN MEMBACA DAN MENDENGAR KISAH ORANG-ORANG YANG
BERJAYA. Bagi remaja yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di
pasaran tentang bagaimana akhirnya wanita- wanita mendapat hidayah untuh tampil
bertudung menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah.
Itulah kuasa hijrah. Dekatilah tokoh-tokoh serta ahli agama yang sentiasa akan
memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah kesedaran
insan terpilih tersebut. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah
diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah
diri ke arah kebaikan.
PEDULIKAN APA KATA ORANG. Untuk berhijrah memang memerlukan
pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti
ada yang memuji malah ada yang mengeji. Apa yang penting itulah rencah dan
dugaan hidup yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat.
Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri
hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk
hijrah diri, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah dibaling batu
dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong
untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.
BERDOALAH. Allah sesungguhnya telah berfirman:
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya
akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri
daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."
(Al-Mu’min 40: 60)
Berdoalah untuk pilihan yang unggul buat kita mengharap
pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu
keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Jangan kita
lupa bahawa Allah menentukan segala niat dan keinginan diri dimakbulkan. Jadi,
berdoalah diiringi keinsafan terhadap dosa-dosa lalu, mohon diampuni-Nya.
Berdoalah agar segala usaha membaiki diri itu dibukakan jalan yang luas tanpa
halangan berliku.
Maka jelaslah sudah, jalan-jalan untuk mengubah diri ke arah
kebaikan terbuka luas. Memang hijrah diri itu menuntut pengorbanan dan
kekentalan semangat yang luar biasa hebatnya. Panduan sudah diberi, pilihan di
tangan anda. Jadilah remaja yang kental dengan pilihan yang sudah dibuat. Tidak
perlu menanti tahun baru masihi atau tahun baru hijrah untuk berhijrah, bersama
samalah kita berusaha melakukan hijrah ke arah kebaikan. Semoga kita sama sama mampu berubah menjadi lebih baik.
No comments:
Post a Comment