'Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah
hatimu. Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak
bumi yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu
lantaran pergaduhan hati sesama makhluk.
Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkungkung
di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau
mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan
terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini.
Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain
terbenam, keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau
di waktu bersungguh-sungguh.
Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas,
senangkan jugalah hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh
kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh
dari matanya: dia akan cinta , cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta
lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan
cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh
juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang
lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima dan menyuburkan cinta, walau
bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu
gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau
tak tahu bila lalunya.
Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup
memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang
rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak
jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang
sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di
seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.'
Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang
dipaterikan oleh cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka
meracuni jiwa yang lalai.
No comments:
Post a Comment