Friday, October 5, 2018

Pasti bertemu

Pernah korang berharap pada suatu permintaan yang besar namun tidak pasti akan permintaan itu?

Setiap manusia yang lahir ke bumi Allah ini akan ada hajat yang pelbagai. Kalau kita masa kecil dahulu, hajat kita mungkin permainan yang canggih seperti robot atau barbie. Meningkat kanak-kanak, permintaan kita berubah kepada video games atau peralatan sukan seperti bola sepak. Fasa remaja, hajat kita lebih kepada kecenderungan untuk bebas dan bersosial. Awal dewasa kita mahukan pekerjaan yang baik dan selesa. Begitulah seterusnya kitaran yang berterusan sehingga kita mati.

Namun begitu, adakah setiap hajat atau permintaan kita pasti akan tertunai? Ya? Tidak? Itu semuanya bergantung kepada besarnya sesuatu permintaan tersebut. Katakanlah anda seorang pelajar universiti, dan dalam fasa tu anda mengalami pelbagai macam krisis tidak kira dari dalaman ataupun luaran. Ada perkata yang boleh kita kawal dan ada yang tidak mampu kita kawal. 

Selaku pelajar universiti, pasti kita akan pernah mengalami masalah dalam persahabatan, dalam pelajaran, dalam kewangan, dalam penjagaan diri dan persekitaran. Iya, masalah dan musibah itu datang bersama pengajaran yang bermakna dalam kehidupan. Sama ada kita sedar ataupun tidak, itu berbalik kepada penerimaan kita. Hikmah pasti ada walau dalam sembunyi.

Masa kecil aku pernah berhajat mahu ada kuasa adiwira. Dalam bahasa komersialnya adalah superhero. Aku teringin jadi seperti Superman. Dengan kekuatan yang luar biasa, aku mampu membantu orang susah di mana sahaja. Dengan kelebihan terbang, aku bebas pergi ke mana sahaja tanpa perlu meminta bantuan sesiapa. Tapi kita semua sedar bahawa itu hanyalah ambisi seorang kanak kanak yang belum kenal realiti secara betul. Apa yang digambarkan dalam kepala segalanya mampu.

Masa aku di akhir tahun pengajian di Universiti, aku mengimpikan beberapa perkara dapat aku tunaikan dalam tempoh 5 tahun akan datang. Mungkin permintaan ini adalah permintaan yang sama seperti rakan lain. Korang nak tahu apa yang aku impikan waktu tu?

  1. Mendapat pekerjaan yang tetap dan baik
  2. Memiliki sebuah kenderaan atas nama sendiri
  3. Berkahwin
  4. Memiliki cahaya mata
  5. Membahagiakan keluarga
Itulah antara harapan yang pernah dipasang untuk tempoh 5 tahun. Alhamdulillah, satu persatu Allah tunaikan dan sehingga hari ni aku tak pernah putus doa semoga setiap hajat aku terlaksana. Kita lemah dan kita sentiasa perlukan bantuan yang lebih berkuasa untuk menunaikan permintaan kita. Suka aku kongsikan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id R.A. Terdapat 3 cara untuk Allah menunaikan permintaan hambaNya.


1. Allah Mengabulkan Secara Langsung Setiap Doa yang Dipanjatkan 
Ketika kita berdoa kepada Allah, maka Allah SWT tanpa sebarang masalah boleh saja mengabulkan doa kita secara langsung. Contohnya, jika kita berhajat dan berdoa agar dipermudahkan urusan kerjaya, maka boleh saja melalui apa saja usaha yang kita lakukan, Allah terus memudahkan jalan untuk kita mencapainya. Inilah contoh cara Allah mengabulkan doa itu secara langsung.

2. Allah Menunda Untuk Mengabulkan Doa Tersebut
Allah menunda doa yang kita panjatkan sehingga sampai waktu yang dikehendaki-Nya. Dimana doa kita ini akan dikabulkan asalkan kita bersabar. Contohnya jika di tahun ini kita berdoa agar dimudahkan jalan untuk bertemu jodoh dan berkahwin, namun secara tak terduga Allah menemukan kita dengan jodoh tersebut di tahun yang akan datang. Asalkan kita terus bersabar dan berusaha serta berdoa. Maka Allah pun memilihkan waktu terbaik untuk mengabulkan doa kita. Namun boleh saja Allah menunda doa yang kita minta, sampai di akhirat kelak baru dikabulkan. Oleh itu, janganlah putus untuk selalu memanjatkan doa kepada Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

3. Allah Menggantikan Doa Tersebut Dengan Suatu Hal Yang Lebih Baik
Allah mampu menunaikan hajat doa yang kita panjatkan, atau menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Boleh jadi kerana doa yang kita panjatkan tidak dikehendaki Allah, dan mampu memberi impak yang negatif pada diri kita. Justeru Allah menggantikannya dengan suatu hal yang lebih baik. Contoh terhampir yang berlaku pada diri sendiri, masa aku selesai SPM aku mahu mencari kerja untuk menimba pengalaman. Aku mendapat beberapa pilihan antaranya menjadi pekerja di salah sebuah panggung wayang di bandar. 

Namun, aku menghadapi banyak masalah sepanjang menjalankan pekerjaan tu. Tidak lama kemudian aku berhenti kerja. Bersangka baik dalam hati Allah berkehendak lain, dan menggantikannya dengan sebuah pekerjaan yang lebih baik dari apa yang aku minta. Oleh itu, selalulah kita berdoa pada Maha Pemurah agar selalu diberikan jalan terbaik dalam menjalani hidup. Berbalik kepada soalan yang aku kemukakan diatas. Permintaan besar bagi kebanyakan manusia. Apa dia? 

JODOH

Jodoh sememangnya salah satu perkara yang telah Allah tetapkan sewaktu kita ditiupkan roh lagi. Menarik bukan? Iya, semua orang tahu jodoh ini adalah takdir Allah dan setiap yang berlaku atas kehidupan ini adalah aturan Allah. Aku cukup setuju dengan kenyataan bahawa jodoh perlu dicari kerana kita akan dapat atas apa yang kita usahakan. Betulkah?


Jodoh setiap orang sudah ditentukan. Sama ada bertemu di dunia ataupun di alam sana, kita takkan pernah tahu. Dekatkan diri pada Dia sebelum kita bersandar pada kasih ciptaanNya, kerana kasihNya umpama sehampar lautan luas. Jadilah hamba yang mendamba cinta Allah sebelum mencari cinta manusia. Apabila Dia kasih, Dia akan berikan jodoh yang terbaik untuk kita – jodoh yang sentiasa meletakkan Dia di carta paling tinggi. Allah itu sebaik-baik perancang. Jodoh, ajal, rezeki, itu semua rahsia Dia. Sehebat manapun kita dalam mencorak kehidupan kita, takkan mampu kita selaraskan dengan perancangan Dia.

Apa yang mahu aku sampaikan mudah. Sekuat mana kau berjanji hidup semati, sebesar mana sayang kau pada si dia, andai jodoh bukan bersama pasti pengakhiran tidak menggembirakan. Namun, andai sudah tertulis jodoh untuk bersama, kita pasti akan bertemu walaupun terpisah berjuta batu. Doa yang baik baik, fikir yang baik baik, buat yang baik-baik, in shaa Allah kita akan dapat yang baik baik jugak.

No comments:

Post a Comment