Thursday, April 3, 2014

Gadis Semasa

Ada seorang sahabat ni mengirim satu video kepada aku yang bertajuk "Gadis Semasa." Video ini bukanlah video nyanyian Yuna tapi sebenarnya adalah video yang menceritakan perihal gadis muslim kita pada hari ini. Bermula dari segi pakaian, pergaulan dan adab gadis gadis kita zaman ini.

Video yang sangat memberi kesan mendalam pada diri aku sehinggakan dalam relung hati ini berkata kata "Kalau aku mencari calon isteri nanti, aku akan pastikan dia menjaga aurat dan batasan pergaulan dia sebagai wanita Islam walaupun dia belum kenal aku." Serius, penyakit fesyen busana muslimah sekarang pun banyak yang tidak boleh diterima akal. Berpakaian untuk menutup aurat tapi bukan membalut aurat yang mana menampakkan segala yang perlu dihijab.

Tak perlu menjadi seorang ustaz atau ustazah untuk menilai sesuatu kebaikan atau keburukan. Ia tidak bermaksud kita menghakimi seseorang itu tapi sebagai Islam, kita patut tahu mana yang hak dan yang batil. Memang tidak dinafikan bahawa menjadi cantik memang satu keinginan atau lumrah semua orang. Bahkan ada yang sanggup melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan cantik. Jangan.. berdosa sekiranya kita mengubah ciptaan Allah yang ternyata memang cantik. Kecantikan itu adalah berbeza mengikut persepsi masing masing tapi itu hal kedua. Perkara pertama adalah aurat. Terlalu banyak salah faham dalam masyarakat hari ini tentang aurat. Allah telah menyatakan dengan jelas berkenaan aurat.

Firman Allah, "Hai Nabi katakanlah kepada isteri isterimu, anak anak perempuanmu & isteri isteri org mu’min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka".Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.(QS 33:AL AHZAB:59)

Kalau nak dinilai, aku bukan orang baik untuk memiliki seorang yang baik tapi siapa mahukan pasangan yang tidak baik kan? Baik dari segi aurat dan pergaulannya. Seorang ibu kepada anak anak kita yang mana tidak menjaga aurat atau akhlak. Aurat bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah. Ini serius. Tak kira siapa anda kalau anda seorang Islam, maka anda wajib menutup aurat dengan sempurna. In shaa Allah anda akan lebih dihormati dan disegani. Tak perlu berpurdah berjubah cukup sekadar menutup aurat dengan sempurna.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE PARAS DADANYA dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera putera mereka, atau putera putera suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putera putera saudara lelaki mereka, atau putera putera saudara perempuan mereka, atau wanita islam, atau budak budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukul kan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang orang yang beriman supayakamu beruntung.” (QS24:An-Nur:31)

Aku mahukan dia yang mampu bersama sama aku menerokai jalan bahagia. Berdirinya seorang lelaki itu adalah bertunjang seorang perempuan. Tiada penafian, positif. Siapa kita hari ini kalau bukan kerana jasa ibu kita. Memang betul lelaki adalah imam tapi siapakah imam tanpa makmumnya? Tidak lengkap, tidak sempurna.

Serius sedih melihat remaja hari ini khususnya perempuan yang seolah olah telah hilang rasa malu dalam diri mereka. Bebas berpakaian ikut suka hati. Bebas bergaul dengan semua tanpa batasan mahram. Andai ditakdirkan aku diuji dengan ujian isteri atau anak sebegitu, mampukah? Nauzubillah.


Note :
Dear my future wife, saya tak tahu siapa awak, dimana awak berada, jauh atau dekat tapi saya harap awak dapat menjaga diri awak sebaiknya. Jaga adab, aurat dan akhlak. Hormat ibu ayah sebaiknya dan jaga bahasa awak. Saya tidak mengharapkan yang begitu sempurna dari awak sebab saya banyak kekurangan dan kerap melakukan dosa sama ada sedar atau tidak. Saya mahukan kita sama sama melayari bahtera ini menuju syurga Allah. 
Ikhlas 
Saya

No comments:

Post a Comment