Thursday, April 3, 2014

Gadis Semasa

Ada seorang sahabat ni mengirim satu video kepada aku yang bertajuk "Gadis Semasa." Video ini bukanlah video nyanyian Yuna tapi sebenarnya adalah video yang menceritakan perihal gadis muslim kita pada hari ini. Bermula dari segi pakaian, pergaulan dan adab gadis gadis kita zaman ini.

Video yang sangat memberi kesan mendalam pada diri aku sehinggakan dalam relung hati ini berkata kata "Kalau aku mencari calon isteri nanti, aku akan pastikan dia menjaga aurat dan batasan pergaulan dia sebagai wanita Islam walaupun dia belum kenal aku." Serius, penyakit fesyen busana muslimah sekarang pun banyak yang tidak boleh diterima akal. Berpakaian untuk menutup aurat tapi bukan membalut aurat yang mana menampakkan segala yang perlu dihijab.

Tak perlu menjadi seorang ustaz atau ustazah untuk menilai sesuatu kebaikan atau keburukan. Ia tidak bermaksud kita menghakimi seseorang itu tapi sebagai Islam, kita patut tahu mana yang hak dan yang batil. Memang tidak dinafikan bahawa menjadi cantik memang satu keinginan atau lumrah semua orang. Bahkan ada yang sanggup melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan cantik. Jangan.. berdosa sekiranya kita mengubah ciptaan Allah yang ternyata memang cantik. Kecantikan itu adalah berbeza mengikut persepsi masing masing tapi itu hal kedua. Perkara pertama adalah aurat. Terlalu banyak salah faham dalam masyarakat hari ini tentang aurat. Allah telah menyatakan dengan jelas berkenaan aurat.

Firman Allah, "Hai Nabi katakanlah kepada isteri isterimu, anak anak perempuanmu & isteri isteri org mu’min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka".Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.(QS 33:AL AHZAB:59)

Kalau nak dinilai, aku bukan orang baik untuk memiliki seorang yang baik tapi siapa mahukan pasangan yang tidak baik kan? Baik dari segi aurat dan pergaulannya. Seorang ibu kepada anak anak kita yang mana tidak menjaga aurat atau akhlak. Aurat bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah. Ini serius. Tak kira siapa anda kalau anda seorang Islam, maka anda wajib menutup aurat dengan sempurna. In shaa Allah anda akan lebih dihormati dan disegani. Tak perlu berpurdah berjubah cukup sekadar menutup aurat dengan sempurna.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE PARAS DADANYA dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera putera mereka, atau putera putera suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putera putera saudara lelaki mereka, atau putera putera saudara perempuan mereka, atau wanita islam, atau budak budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukul kan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang orang yang beriman supayakamu beruntung.” (QS24:An-Nur:31)

Aku mahukan dia yang mampu bersama sama aku menerokai jalan bahagia. Berdirinya seorang lelaki itu adalah bertunjang seorang perempuan. Tiada penafian, positif. Siapa kita hari ini kalau bukan kerana jasa ibu kita. Memang betul lelaki adalah imam tapi siapakah imam tanpa makmumnya? Tidak lengkap, tidak sempurna.

Serius sedih melihat remaja hari ini khususnya perempuan yang seolah olah telah hilang rasa malu dalam diri mereka. Bebas berpakaian ikut suka hati. Bebas bergaul dengan semua tanpa batasan mahram. Andai ditakdirkan aku diuji dengan ujian isteri atau anak sebegitu, mampukah? Nauzubillah.


Note :
Dear my future wife, saya tak tahu siapa awak, dimana awak berada, jauh atau dekat tapi saya harap awak dapat menjaga diri awak sebaiknya. Jaga adab, aurat dan akhlak. Hormat ibu ayah sebaiknya dan jaga bahasa awak. Saya tidak mengharapkan yang begitu sempurna dari awak sebab saya banyak kekurangan dan kerap melakukan dosa sama ada sedar atau tidak. Saya mahukan kita sama sama melayari bahtera ini menuju syurga Allah. 
Ikhlas 
Saya

Tuesday, April 1, 2014

Masa dan Jasa

Kadang kadang pernah aku mengeluh bila didatangi tugasan baru seperti penganjuran program kolej yang berturutan tanpa henti. Penat kepala dan badan. Persoalan demi persoalan bermain dalam fikiran aku macam "kenapa kolej kita saja buat banyak gila program. Tengok kolej lain, relaks dan santai saja." Berdasarkan masa yang aku ada dalam semester ni, memang tidak dinafikan aku agak sibuk dan jadual aku padat.

Sekiranya tugasan tersebut adalah merupakan markah yang membawa kepada sijil ijazah aku nanti maka aku memang sanggup tapi tugasan kolej ini adalah luar daripada itu. Tidak termasuk dalam senarai CGPA aku. Beberapa kali juga aku mengadakan perbincangan bersama rakan seangkatan berkenaan takwin kolej, mereka juga ada yang menyokong dan ada yang membantah dengan alasan masing masing.

Hari demi hari berlalu, program demi program, masalah demi masalah yang melanda tetap persoalan sama. Bila ditanyakan kepada Exco kolej lain, semuanya kata mereka lebih relaks dalam bertugas kerana jarak program antara program banyak. Aku agak cemburu dengan kesenangan mereka bertugas sebagai Exco. Bertugas dalam kolej ini bukan dapat gaji, penginapan percuma jauh sekali. Memang kusut fikiran bila mengenangkan setiap tugasan yang aku perlu lakukan. Itu ini, sana sini. Ahh, serabut.

Tapi semua itu persoalan seakan terhapus pergi, terima kasih kepada barisan MT yang merasionalkan semua kepincangan yang dialami. Kata seorang daripada mereka "Kalau ditanya kenapa program kolej kita banyak berbanding kolej lain sebab kita dah diperuntukkan dengan sejumlah wang penghuni kolej ini dan kita sebagai Majlis Mahasiswa Kolej mesti menjalankan amanah ini dengan baik sebab ini yang akan ditanya Allah kemudian hari."

Memang tak dinafikan apa yang beliau katakan, setiap daripada kita sudah berjanji untuk menjaga kebajikan penghuni dan amanah itu perlu kita tanggung. Teringat aku dengan kisah 6 pesanan Imam Ghazali kepada anak muridnya.

Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”.

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. ” Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Walau secanggih mana pun kenderaan kita pada hari ini, kita tetap tidak akan mampu mencapainya kembali.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al A’araaf 179)

Pertanyaan keempat adalah, ” Apa yang paling berat di dunia ini?”

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah”

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al Ahzaab 72 )

Pertanyaan yang kelima adalah, ” Apa yang paling ringan di dunia ini?”.

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

Lantas pertanyaan ke enam adalah, ” Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia” kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Dan aku dapat merasakan bagaimana barisan MT bertungkus lumus untuk menghabiskan semua wang peruntukan pelajar itu untuk penghuni kolej kerana setiap sen yang ditinggalkan tanpa buat apa apa itu sangat berharga. Memang kadang kadang manusia buat silap tapi kalau hanya melihat pada kesilapan, kita takkan maju kehadapan.