“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat
ku lalui dengan sempurna..” Kita semua mesti dah biasa sangat dengan nasyid
nyanyian Man bai dengan Raihan ni kan. Lagu yang kita dengarkan sejak kecil
lagi.
Sedar tidak sedar kita hampir tiba kembali Ramadhan
Al-Mubarakh. Bulan yang terbaik dari bulan bulan yang lain. Jadi, marilah kita
bina bergunung-gunung azam kerana ianya tidak akan merugikan. Bulan yang penuh
keberkatan. Bulan yang penuh pengampunan. Bulan yang merantai dan membelengu
syaitan dan iblis serta membebas dan melepaskan umat manusia dari azab dan
siksa.
Marilah kita besama-sama memakmurkannya dengan
memperbanyakkan amal ibadat. Dan murahkanlah hati untuk memberi kepada yang
lain serta sambunglah ikatan silaturahim yang renggang dan terputus itu. Harus diingati bahawa bukan bermakna Ramadhan ialah bulan mengerjakan kebaikan, dan bulan-bulan lain itu bulan mengerjakan kemaksiatan. Tetapi Ramadhan adalah bulan yang mana penambahan amal kebaikan itu sangat menguntungkan. Malah keuntungannya berlipat kali ganda melebihi kepatutan. Hehe,
macam forum perdana pulak dah.
Aku, macam orang lain jugak mengharapkan Ramadhan kali ni mampu mengislahkan diri kita dari kejahilan semasa. No doubt yang kita ni selalu buat dosa dalam sedar atau tidak. Memang agak banyak jugak kalau dikira dari lahir kita sampai hari ini.
Aku nak kongsikan sikit apa yang aku baca dari facebook, moga manfaat berpanjangan. Kelebihan bulan Ramadhan yang ramai dah tahu tapi mungkin ada yang dah lupa.
1. Dibelenggu para syaitan dan jin.
Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaitan yang bengis
sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih
terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua
syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan
dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah
menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita.
Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika
Syaitan di belenggu.Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk
menyucikan segalanya.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah
segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu
rahmat.”(Bukhari & Muslim)
2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70
kali.
“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal
fardu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada
5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan,
bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji
bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu
akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi
70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan adalah sama dengan RM70
di luar Ramadhan.
“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah
Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia
sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh
keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih
baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu
kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan
sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan
melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti
melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib
pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh
puluh (70) amalan fardhu.”.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:
“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat,
katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan
wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang
dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang
demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat
Tirmizi dan Nasa’i)
3. Pintu neraka
ditutup.
Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam
barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati
dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada
yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.
4. Dibuka semua pintu syurga.
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih –
Riwayat Bukhari). Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin
ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini.
Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.
5. Allah perhiaskan syurga.
Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik.
Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan
bertemu bakal suaminya di syurga.
Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari
setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan
bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah
syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat
indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah
bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas
bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ?
Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan
, hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .
6. Dilepaskan tahanan neraka
Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan
Ramadhan) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah
memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan
Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”
7. Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Telah datang kepadamu Ramadan, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah
kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa
keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.” Layanlah tetamu
mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia suka makan ikan, hidangkanlah
masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu dengan baik, seluruh ahli
rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang, begitu juga Ramadhan,
jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada bulan itu, maka
kita juga akan mendapat keampunan.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya:
“Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan
mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang
telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan
perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi
Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”.(Hadith
Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)“
8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang (2 tahun)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya:
“Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan
mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang
telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW
menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan
secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana
beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang
telah lalu.”
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah
bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan
diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang
menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan
dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.
Rasulullah bersabda “Rugilah puasa orang yang
tidak mendapat keampunan”. Semoga setiap daripada kita berjaya memperolehi puasa yang berkualiti dan amalan yang diterima oleh Allah. Renung renungkan dan selamat beramal.