Bercakap tentang ikhlas, kita
semua ada tafsiran sendiri. Melihat daripada skop ajaran agama Islam, pengertian
ikhlas ini terbahagi kepada dua iaitu bahasa dan istilah. Dari sudut bahasa, ikhlas
bermaksud tulus dan bersih. Manakala pengertian istilah pula, ikhlas membawa
maksud mengerjakan sesuatu amal kebaikan hanya mengharapkan reda Allah SWT.
Secara peribadi, aku sentiasa
merasakan untuk mencapai tahap ikhlas ni sangatlah sukar. Terlalu banyak cubaan
dan godaan yang menggoyahkan keikhlasan kita. Ikhlas ni datang dari dalam diri,
tanpa paksaan atau arahan sesiapa. Rela hati melakukan sesuatu itu semata kerana
Allah.
Bayangkan kita pergi ke sebuah masjid,
kemudian ada sebuah tabung lalu depan kita. Kita buka dompet dan terlihat ada
sekeping duit ringgit Malaysia warna merah dan sekeping lagi berwarna biru.
Tanya pada diri kita, mana satu yang akan kita masukkan dalam tabung masjid tu?
Melihat daripada skop kerja, adakah
kita sebagai pekerja telah menjalankan amanah dengan penuh ikhlas? Lafaz
dibibir mengiyakan namun dalam hati banyak mempersoalkan itu dan itu. Setiap
orang buat salah dan kita buat betul pun dikatakan salah. Serba tak kena.
Sekiranya itu berlaku, dimanakan letaknya ikhlas.
Ada seorang guru yang aku hormati
pernah berpesan, “Ilmu ini adalah anugerah Allah. Jangan kita memarahi anak
murid kita kerana tidak bijak, dikuatiri akan hilangnya ikhlas. Ajarlah dengan
penuh hati, ikhlas kerana Allah dan untuk bantu anak bangsa, In shaa Allah anak
murid akan lebih mudah menerima”.
Allah SWT. menyeru kita untuk
selalu ikhlas dalam beramal, khususnya dalam beribadah kepada Allah SWT.
Sebagaimana dalil alam firman-Nya:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ
ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ . أَلَا لِلَّهِ
ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُۚ
Maksudnya: "Sesungguhnya
Kami menurunkan Kitab (Al-Qur'an) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa)
kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya.
Ingatlah! Hanya milik Allah agama yang murni (dari syirik) ...." (Q.S.
Az-Zumar: 2-3)
Apabila kita merujuk kepada hadis
40, ada disampaikan kepada kita sebuah hadis tentang niat. Hadis itu cukup
ringkas dan mudah untuk kita fahami.
Dari Umar radhiyallahu ‘anhu,
bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amal itu tergantung
niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang
hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan
Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang
hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (HR. Bukhari,
Muslim)
Apa yang boleh kita dapat
daripada hadis ni? Simple. Apa yang kita niatkan, itulah apa yang akan kita
dapat. Kalau kita niatkan segala perbuatan kita kerana Allah, maka akan dapat
ganjarannya kerana Allah. Sebaliknya jika kita niat untuk sesuatu yang lain,
kita akan dapat apa yang kita niatkan.
Sebagai seorang pendidik, aku
sentiasa mengingatkan diri bahawa segala yang aku sampaikan kepada anak didik
aku adalah kerana Dia dan untuk Dia. Moga Allah permudahkan ilmu tersebut meresap
jauh ke lubuk hati anak didik aku, in shaa Allah.
Dalam upaya membiasakan diri amalkan
ikhlas, ada baiknya jika kita perhatikan beberapa perkara berikut ini.
- Tanamkan dalam relung hati bahawa apa pun yang kita miliki hakikatnya hanya titipan dari Allah.
- Hendaknya meluruskan niat pada setiap melakukan suatu amal perbuatan, semata-mata hanya ingin mendapatkan rida Allah SWT.
- Dalam beramal jangan pilih kasih, melainkan semua orang harus dipandang sama.
- Lupakan setiap amal kebaikan yang telah dilakukan, agar tidak memiliki rasa angkuh dan sombong.
- Berdoalah kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dalam berakhlak ikhlas.
Semoga setiap daripada kita dapat
menikmati ikhlas, khususnya dalam solat kita. Tiang agama yang tak utuh,
runtuhlah agama yang disandarkan. "Ikhlas itu ibarat semut
hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pada malam yang gelap"