Terkadang tuhan sengaja tidak memberi apa yang kita mahukan
dengan segera. Kita berdoa kepada Dia mahukan itu, mahukan ini tapi saban hari
apa yang kita mahukan itu tak jadi kenyataan. Kita pun terfikir, apalah besar
sangat dosa kita sampai doa kita ditangguhkan daripada diperkenan Nya.
Maha Suci Tuhan, Dia Maha Mengetahui akan setiap sesuatu
yang telah, sedang dan akan berlaku terhadap setiap hambaNya. Allah tidak akan
mempersiakan doa hambaNya. Dia tahu akan segalanya. Boleh jadi apa yang kita
harapkan itu bukanlah yang terbaik untuk diri kita. Malah, Dia menggantikan apa
yang dipinta itu dengan sesuatu yang lebih baik.
Mungkin pahit bagi kita untuk menerima kenyataan bahawa apa
yang kita hajatkan tidak tertunai. Kita sentiasa mahukan segalanya segera. Mahu
semuanya Allah bagi dalam waktu itu juga. Pernah aku berjumpa seorang pakcik
yang aku rasa umur dalam lingkungan 60-an mengutip kotak-kotak dan tin-tin
kosong dijalanan. Satu hari, aku berkesempatan bertegur dengannya.
Kami berbual panjang dan sehingga satu keadaan, dia menyebut
“Takpelah nak, Allah tak bagi pakcik kaya dengan harta tapi Alhamdulillah,
Allah masih kurniakan pakcik dengan nikmat kesihatan. Kawan pakcik ramai yang
meninggal sebab macam-macam penyakit.”
Dari riak wajah, aku percaya pakcik ni ikhlas dalam
percakapannya. Allah tak beri apa yang kita mahukan tapi apa yang kita
perlukan.
Ada seorang sahabat ni, bercinta dengan seorang gadis selama
lebih kurang setahun dan sudah pun berjumpa dengan ibu bapa gadis ini. Segala
persiapan fizikal dan mental sudah dilakukan. Namun istikharoh tak menunjukkan
bahawa gadis ini merupakan jodohnya. Maka, diulang lagi sehingga berkali kali,
tetap tidak dirasakan bahawa gadis ini akan jadi miliknya yang sah.
Tidak lama lepas tu, mereka berpisah secara baik. Jodoh,
rezeki dan maut ditangan tuhan. Sahabat ini kemudiannya bertemu dengan seorang
gadis yang baik perlakuan, bahasa dan tatasusilanya. Alhamdulillah, gadis
itulah tulang rusuknya yang hilang.
Secara peribadi, aku sendiri pernah merasakan situasi
sebegitu. Aku mahukan yang A tapi Allah bagi aku aku yang G. Aku rasa aku
perlukan yang F tapi Allah beri aku B. Kadang sampai aku sendiri terlupa apa
yang aku harapkan dalam doa yang Allah sudah pun makbulkan tanpa sedar. Kita terkadang terlupa untuk bersyukur kerana terlalu mengejar apa yang belum kita miliki, tanpa memikirkan apa yang sudah kita ada.
Semasa aku kecil, cita-cita sebagai guru tak pernah langsung
ada dalam senarai. Aku selalu berdoa agar dipermudahkan apa yang aku perlukan. 10 tahun kemudian, hari ini, aku menjadi seorang Guru kepada
ratusan orang murid disekolah. Pada mulanya memang aku susah nak menerima apa
yang berlaku. Aku? Cikgu? Memang tidak la. Tapi setiap yang berlaku hadir
bersama hikmah yang tersendiri. Aku dapat, aku hadam dan aku muhasabah. Ada
sebab kenapa aku berada di sini hari ini.
Allah takkan pernah mempersiakan hambaNya. Tidaklah Allah
menzalimi hambaNya kecuali hambaNya sendiri. Teruskan berdoa walaupun permintaan kita nampak mustahil, yakinlah tiada yang mustahil buat Allah.